OLEH : Ustaz Borhan Noordin Bin Zakaria
MENGEBUMIKAN JENAZAH KELEBIHAN MENGEBUKAN JENAZAH Sabda Nabi S.A.W: من شهد الجنازة حتى يصلى عليها فله قراط ومن شهدها حتى يدفن فله قراطان قيل وما القراطان؟ قال: مثل الجبلين العظيمين. "Barangsiapa yang menyaksikan jenazah serta turut menyembahyangkan, maka baginya pahala satu qirat. Dan barangsiapa yang menyembahyangkannya serta turut mengebumikannya, maka baginya pahala dua qirat. Dikatakan pada Nabi apakah qirat itu?Jawab Baginda:Qirat itu pahala yang menyamai dua bukit yang besar.” Membawa jenazah hanyalah dikhususkan untuk kaum lelaki samada jenazah tersebut lelaki atau perempuan. Sebelum bergerak meninggalkan halaman rumah menuju ke kubur, disunatkan membaca surah fatihah tiga kali. Caranya selepas melangkah selangkah, dibaca sekali sehingga tiga kali langkah dengan tiga fatihah. Sunat berdiri apabila mayat diusung berhampiran dengan kita dan membaca: سبحان الله لا يموت سبحان الملك القدوس Disunatkan kepada kita berada di tempat pengkebumian hingga selesai. Boleh menanam jenazah di waktu malam tetapi disunatkan di waktu siang.
CARA-CARA MENGEBUMIKAN JENAZAH Hendaklah diturunkan jenazah seberapa cermat yang boleh, lemah-lembut dan penuh hormat di dalam suasana tenang. Disunatkan membaca doa: بسم الله وعلى ملة رسول الله صلى الله عليه وسلم Letakkan jenazah ke dalam liang lahad dan baringkan di atas lambung kanan dengan mengadap kiblat. Disandarkan mayat dengan ketulan tanah supaya jenazah itu tidak terbalik atau terpesong dari kiblat. Tutup liang lahad dengan papan. Sunat meraub tanah tiga raub selepas mayat dimasukkan ke dalam liang lahad atau selepas ditutup dengan papan dan diletakkan di belakang mayat.Ketika rauban pertama bacalah: منها خلقناكم .Pada rauban kedua وفيها نعيدكم dan pada rauban ketiga ومنها نخرجكم تارة اخرى Timbuskan tanah dengan perlahan-lahan dan cermat. Pastikan supaya tanah tidak memasuki liang lahad tadi. Sunat meninggikan kubur sekadar sejengkal dari paras bumi. Sunat diletakkan tanda seperti batu nisan dan sebagainya supaya senang dikenali.
KEWAJIPAN TERHADAP ANAK YANG GUGUR
Jika ada tanda-tanda anak tersebut hidup semasa lahirnya seperti ianya bergerak, bernafas, menangis dan seumpamanya maka hukum yang dikenakan ke atasnya samalah seperti mayat biasa. Jika tiada tanda-tanda hidup tetapi sudah membentuk lembaga manusia maka mayat itu hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa disembahyangkan. Sekiranya tiada tanda-tanda hidup dan masih belum membentuk lembaga manusia memadailah dengan membasuhnya sahaja untuk membersihkannya dari darah dan kotoran yang ada. Kemudian dibungkus dan ditanam.
ZIARAH KUBUR Hukum menziarahi kubur atau hadir ketika mengebumikan adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi perempuan. Mengikut pendapat jumhur ulama. Apabila menziarahi kubur sunat memberi salam dan berdoa: السلام عليكم يا أهل الديار من المؤمنين والمسلمين والمسلمات وإنا إن شاء الله اللاحقون. أسال الله لنا ولكم العافية Disunatkan juga membaca al-Quran seberapa banyak seberapa banyak yang boleh. Menziarahi kubur adalah sunat kerana dengan sedemikian akan mengingati kita kepada kematian.
TAKZIAH Sunat memberikan ucapan takziah kepada keluarga si mati sebagai tanda simpati di atas ujian tersebut dengan memberikan nasihat supaya dapat bersabar dan menerima musibah dengan lapang dada. Takziah sunat dilakukan sama ada sebelum dikebumikan atau selepasnya dalam masa tiga hari. Makruh memberi takziah selepas dari tempoh dari tersebut. Takziah selepas pengkebumian lebih baik daripada sebelumnya kerana waktu itu ahli keluarga si mati sibuk menguruskan jenazah.
Kursus ini diadakan pada 25 Julai 2009 m / 3 Sya’ban 1430 h. Hari sabtu Jam 9.30 pagi bertempat di rumah pentadbiran Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS). Di bawah anjuran bersama Biro Kebajikan (PPMS), Lajnah Kebajikan Dan Ekonomi Keluarga Anak Kedah Di Syria (KKDS) dan Badan Kebajikan Anak Selangor (BKASS) SESI 2009.Labels: Kursus Pengurusan Jenazah |