|
KURSUS PENYELENGGARAAN JENAZAH – siri 3 |
Wednesday, November 18, 2009 |
OLEH : Ustaz Borhan Noordin Bin Zakaria
MEMANDIKAN JENAZAH Hukumnya ialah fardu kifayah secara ijma' ulama. SYARAT-SYARAT MAYAT YANG WAJIB DI MANDIKAN: A. Mayat islam B. Didapati anggotanya walaupun sedikit C. Bukan bayi keguguran yang belum sempurna sifatnya(sebelum 4 bulan) D. Bukan jenazah yang mati syahid di medan peperangan
ORANG YANG BOLEH MEMANDIKAN JENAZAH Kewajipan asal memandikan mayat ialah ‘lelaki memandikan lelaki dan perempuan memandikan perempuan’. Sekiranya mayat itu lelaki, maka yang lebih berhak memandikannya ialah bapa,kemudian datuk, kemudian anak, kemudian saudara lelaki, kemudian bapa saudara, kemudian anak saudara (mengikut tertib asobah), kemudian kerabat-kerabat lelaki, kemudian orang-orang asing (yang tidak ada pertalian darah dengan si mati), kemudian perempuan-perempuan mahramnya. Manakala jenazah wanita yang tiada suami, maka orang yang diamanahkan untuk memandikannya ialah perempuan yang paling dekat hubungan kekeluargaan dengannya seperti ibunya. Selain itu, harus juga bagi suami untuk memandikan isterinya mengikut ijma' ulama. Sekiranya lelaki telah mati di tempat yang tidak diduduki oleh kaum lelaki melainkan perempuan ajnabi atau sebaliknya, maka gugurlah kewajipan mandi dan berpindah ke tayammum. Mayat kanak-kanak boleh dimandikan oleh lelaki atau perempuan. Bagi mayat khunsa yang mempunyai dua alat kelamin, maka orang yang memandikannya hendaklah dipilih berdasarkan kecenderungan si mati yang lebih banyak ke arah sifat-sifat lelaki atau perempuan. HUKUM MELIHAT AURAT SI MATI Menutup aurat si mati adalah wajib. Haram bagi orang yang memandikan mayat untuk melihat kepada auratnya dan menyentuhnya. Apabila sampai kepada aurat si mati, maka si pemandi hendaklah menggunakan kain atau sarung tangan sebagai mengalas tangannya. Mengikut sesetengah pendapat ulama mengatakan bahawa menyentuh aurat mayat dengan tidak beralas adalah makruh. SYARAT-SYARAT ORANG YANG MEMANDIKAN MAYAT 1. Islam 2. Bukan pembunuh si mati – hak pembunuh untuk memandikannya hinggalah menanamnya adalah gugur. 3. Berakal 4. Niat
Perkata utama yang diperlukan oleh yang memandikan mayat ialah amanah. Sabda Nabi S.A.W: لا يغسل موتاكم إلا المأمونون ( رواه ابن ماجه ) "Tidak memandikan orang yang mati itu kecuali orang-orang yang amanah." Seelok-eloknya, orang memandikan si mati itu adalah orang yang terdekat dan disayangi oleh si mati dengan syarat dia mengetahui tentang hukum-hakam memandikan mayat. Manakala mayat yang mati dalam keadaan junub atau haid memadai dengan satu mandian sahaja. PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA MEMANDIKAN MAYAT 1. Mengulangi mandian sebanyak tiga kali. Mandian pertama adalah wajib sementara yang kedua dan ketiga adalah sunat. Mandian yang pertama ialah dengan air mutlak manakala yang kedua dan ketiga dengan air biasa atau sabun dan yang ketiga dengan air kapur barus. Makruh memandikan jenazah lebih dari tiga kali sekiranya sudah bersih. Sekiranya mandian yang ketiga tidak dapat membersihkan najis, ulangi mandian kepada lima,tujuh dan seterusnya sehingga bersih. Sunat mewitirkan (mengganjilkan) bilangan mandian berpandukan sabda Nabi S.A.W terhadap isteri-isterinya: إغسلنها وترا ثلاثا أو خمسا أو أكثر من ذلك إن رأيتن ذلك 2. Menggunakan wangian dalam mandian yang terakhir seperti kapur barus dan seumpamanya, tetapi yang sebaik-baiknya ialah air kapur barus. Disunatkan juga menggunakan air bidara atau sabun. 3. Sunat memasang setanggi (colok, kemian) terutama ketika mengeluarkan najis untuk menghilangkan bauan yang busuk. 4. Sunat melembutkan sendi jenazah untuk memudahkan pengkapanan. 5. Di dalam mazhab Syafie, sunat menyikat rambut perempuan dan janggut lelaki jika ianya tebal dengan sikat jarang. CARA-CARA MEMANDIKAN MAYAT Sekurang-kurangnya mandian bagi mayat ialah dengan meratakan air ke seluruh tubuh setelah dibersihkan najis-najis yang ada. Manakala yang sebaliknya ialah: i. Dimandikan di tempat yang bersih dan tertutup daripada pandangan umum. Hanya orang yang memandikan dan penolongnya sahaja yang boleh berada di tempat itu. ii. Tutupkan mayat tadi dengan menggunakan kain yang menutup keseluruhan badan, sementara bahagian muka boleh ditutup atau tidak, tetapi yang sebaiknya ditutup untuk mengurangkan keaiban semasa mencurahkn air nanti. Air yang hendak dicurah itu hendaklah diatas kain sebagaimana hadis Rasulullah: غسلوه وعليه قميص يصبنون عليه ويدلكون من فوقه "Mereka memandikannya(si mati) dalam keadaan berpakaian dan mereka mencurahkan air serta menggosok di atas pakaiannya."
iii. Juru mandi dan penolongnya disunatkan memakai sarung tangan. Bagi setengah pendapat, makruh menyentuh mayat dengan tanpa alas ketika memandikannya. iv. Kemudian hendaklah didudukkan sedikit mayat tadi dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Sandarkan belakangnya kepada lutut kanan orang yang memandikan dan tangan kanan memegang bahu kanan mayat. Tangan kiri yang beralas mengurut perut si mati perlahan-lahan supaya najis yang ada akan keluar. Air hendaklah sentiasa dicurahkan supaya najis yang keluar akan turun ke bawah. Disunatkan memasang setanggi ketika mengeluarkan najis serta membersihkan tempat keluar najis kemudian buang sarung tangan pertama. iv. Kemudian baringkan semula mayat tadi dengan menggunakan sarung tangan yang baru.Masukkan jari ke mulut si mati serta gerakkan jari di atas gigi perlahan-lahan dan jangan sekali-kali membuka mulutnya. Mata, telinga dan hidung juga hendaklah dibersihkan. v. Wudhu'kan si mati dengan melafazkan niat. Berniat wudhu' adalah wajib manakala niat mandi adalah sunat. vi. Bersihkan kepala dan janggut sekiranya janggut dan rambutnya tebal. Sikat dengan menggunakan sikat yang jarang untuk mengelakkan rambut gugur. Sekiranya terdapat rambut yang gugur semasa mandi hendaklah dikumpulkan untuk dikapankan bersama. viii. Kemudian basuhkan leher dan badan di sebelah lambung (rusuk/tepi badan) kanan, celah-celah kemaluan, dada, lutut hingga ke hujung kaki yang merangkumi bahagaian kanan badan. Kemudian di baringkan semula, basuhkan lambung kiri sebagaimana basuhkan lambung kanan tadi. Tidak perlu mengulangi semula ketika meneruskan mandian, sebaliknya teruskan dengan membasuh dari tengkok ke bawah. ix. Mandian hendaklah sebanyak tiga kali. Mandian pertama adalah wajib manakala yang kedua dan ketiga adalah sunat. Sekiranya mandian yang ketiga masih tidak dapat menghilangkan najis yang ada, ulangi kepada lima, tujuh, dan seterusnya hingga bersih dan sunat diwitirkan bilangan mandian (diganjilkan). x. Sunat menggunakan air daun bidara atau sabun atau seumpamanya yang sifatnya boleh membersihkannya. xi. Mandian yang ketiga atau terakhir sunat dengan menggunakan air kapur barus atau wangian terapi yang paling utama ialah dengan air kapur barus. xii. Boleh diletakkan bauan kepada si mati selepas dimandikan. Antaranya bauan yang lebih baik itu ialah kapur barus. xiii. Memandikan mayat dengan air sejuk biasa lebih afdhal daripada menggunakan air panas kecuali ketika hajat. xiv. Haram menelengkop jenazah. UNTUK PERHATIAN: Sebarang benda yang gugur semasa mandian seperti rambut dan sebagainya hendaklah disimpan dan dikapankan bersama jenazah. Sekiranya didapati najis keluar selepas mandi, tidak perlu lagi mengulangi mandian tadi, tapi hanya diwajibkan membuangnya sahaja.
Kursus ini diadakan pada 25 Julai 2009 m / 3 Sya’ban 1430 h. Hari sabtu Jam 9.30 pagi bertempat di rumah pentadbiran Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS). Di bawah anjuran bersama Biro Kebajikan (PPMS), Lajnah Kebajikan Dan Ekonomi Keluarga Anak Kedah Di Syria (KKDS) dan Badan Kebajikan Anak Selangor (BKASS) SESI 2009.Labels: Kursus Pengurusan Jenazah |
posted by Keluarga Anak Kedah Syria @ 11:45 PM
|
|
|
|
PENGENALAN |
Nama: Keluarga Anak Kedah Syria
Lokasi: Damascus, Syria
Pengenalan: KKDS adalah sebuah persatuan kebajikan penuntut-penuntut Kedah yang sedang menimba ilmu di Bumi Syria. KKDS yang ditubuhkan pada 27 Mac 1996 bernaung dibawah naungan Ke Bawah DYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. KKDS juga bernaung dibawah Persatuan Pelajar Malaysia Syria dan Jabatan Penuntut Malaysia Amman, Jordan.Berpegang pada konsep " Dari Ahli Kepada Ahli ", KKDS sesi ini merencana agar kebajikan ahli dijaga dari masa ke semasa selaras dengan tema Negeri Kedah " Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua ".Para pimpinan KKDS mengharapkan kerjasama dan memberi kerjasama dari semua ahli untuk kebaikan dan kelancaran pentadbiran KKDS.
See my complete profile
|
Terbitan |
|
Arkib |
|
BERITA |
|
Powered by |
-::NOURAN CREATIVE::- |
|
Daftar Pelawat |
|
Hit Counter
|
|