Tanggal 15 Julai 2008, terciptalah suatu lagi episod penting dalam sejarah Negeri Kedah Darul Aman apabila genap 50 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Zaman berzaman kesultanan Kedah telah melalui pelbagai episod yang panjang hingga mencecah hampir 900 tahun. Tuanku Sultan Abdul Halim mula menaiki takhta pada 15 Julai 1958 dan secara rasmi ditabalkan pada 20 Febuari 1959 menjadikan Tuanku sebagai Sultan paling lama memerintah yang masih hidup ketika ini. Tuanku Sultan Kedah juga ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong pada 21 September 1970 sehingga 20 September 1975. Sebagai seorang Raja berjiwa rakyat, Tuanku Sultan cukup disayangi oleh segenap lapisan masyarakat Negeri Kedah. Baginda juga dikenali sebagai seorang Sultan yang begitu menghargai ulama-ulama sesuai dengan peranan baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri Kedah. Tuanku sentiasa menjadi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat Negeri Kedah dan juga tempat rakyat berpayung. Justeru, sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman ini dan juga penaung utama Keluarga Anak Kedah Syria (KKDS), patik-patik warga Keluarga Kedah Anak Kedah Syria (KKDS), mengucapkan jutaan Tahniah dan mendoakan agar Tuanku dipanjangkan umur dan sihat sentiasa di dalam Iman. DIRGAHAYU TUANKU!
DAULAT TUANKU!
|